| Majlis Penyerahan Sumbangan Bubur Lambuk & Kurma |
| Ditulis oleh Muhammad Fahmi Abdul Jalil |
|
SHAH ALAM 21 Julai - Sempena bulan Ramadhan Al-Mubarak ini, Majlis Pelancaran Bubur Lambuk Bulan Ramadhan 1433 H telah diadakan sekitar jam 5.15 bertempat di Dataran Imam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah. Pelancaran ini telah disempurnakan oleh Y.A.B Dato’ Menteri Besar Selangor Tan Sri Dato' Abdul Khalid bin Ibrahim. Majlis anjuran bersama AJK Pengimarahan MSSAAS dan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah ini telah dihadiri lebih 300 orang jemaah muslimin dan muslimat yang mengikuti program ini di samping menuggu giliran bagi mendapatkan bubur dan kurma percuma.
Majlis ini telah dimulakan dengan bacaan doa oleh Ustaz Firdaus bin Subhi, Pegawai Hal Ehwal Islam MSSAAS. Seterusnya ucapan alu-aluan telah diberikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pengimarahan Jemaah MSSAAS, Dato' Hj Abu Bakar bin Abdul Hamid. Kemudian, majlis telah diteruskan lagi selepas itu dengan ucapan dan Majlis Penyerahan Sumbangan Bubur Lambuk & Kurma bagi bulan Ramadhan 1433 H yang disempurnakan oleh Y.A.B Dato’ Menteri Besar Selangor Tan Sri Dato' Abdul Khalid bin Ibrahim.
Sebagai merasmikan majlis pada petang itu, penyerahkan bubur-bubur lambuk dan kurma kepada AJK Pengimarahan MSSAAS turut diadakan sebaik sahaja ucapan oleh Y.A.B Dato’ Menteri Besar Selangor. Bubur dan kurma itu telah disampaikan oleh Y.A.B Dato’ Menteri Besar Selangor kepada kesemua AJK Pengimarahan MSSAAS yang hadir pada petang itu. Antara yang hadir dalam majlis ini termasuklah Pengerusi MAIS Y.A.D. Dato' Setia Haji Mohammed Azib bin Mohd Isa, Pengarah JAIS S.S. Tuan Hj. Marzuki bin Hussin dan Imam Besar MSSAAS S.F. Tuan Hj. Ahmad Mustafa bin Mohd Sidin. Majlis telah diakhiri dengan pengagihan bubur lambuk dan kurma kepada para jemaah yang hadir pada petang itu. |








